Keratan laporan kemalangan maut seorang ibu tunggal akibat terlanggar lubang di Kangkar Pulai 30 April lalu. Gambar kecil menunjukkan kerja menampal semula jalan berlubang dilakukan MBIP. FOTO NSTP
Keratan laporan kemalangan maut seorang ibu tunggal akibat terlanggar lubang di Kangkar Pulai 30 April lalu. Gambar kecil menunjukkan kerja menampal semula jalan berlubang dilakukan MBIP. FOTO NSTP
Mohd Sabran Md Sani


LUBANG di permukaan jalan yang mengorbankan nyawa seorang ibu tiga anak selepas skuter ditunggangnya terbabas di Kangkar Pulai, pada 30 April lalu adalah kesan kerja pembaikan kabel bawah tanah.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Adib Azhari Daud berkata, kerja terbabit dilakukan kontraktor lantikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Januari 2018.

Katanya, pihak MBIP mendapati kerja pembaikan jalan pihak terbabit tidak menepati spesifikasi pembaikan jalan.

"MBIP sudah mengarahkan secara lisan kepada kontraktor TNB untuk dibuat pembaikan semula sebagaimana spesifikasi pembaikan jalan.

"Pada Disember 2018, didapati bekas tampalan di tempat yang sama mengalami kerosakan semula," katanya dalam kenyataan.

Menurut Adib, MBIP sudah mengarahkan TNB untuk pembaikan semula.

"Pada 11 Januari lalu, kontraktor TNB sudah membuat kerja-kerja penambahbaikan.

"Pada 20 April lalu, didapati bekas tampalan itu mengalami kerosakan semula sehingga kes kemalangan itu berlaku," katanya.

Katanya, berikutan itu MBIP membuat langkah keselamatan sementara dengan meletakkan 'barrier' pada 30 April lalu.

"MBIP mengarahkan sekali lagi TNB membaiki jalan itu dengan segera, namun sehingga 2 Mei didapati pihak terbabit tidak berbuat apa-apa di lokasi," katanya.

Berikutan itu katanya, MBIP berasa bertanggungjawab untuk terus melaksanakan kerja-kerja pembaikan di lokasi terbabit.

"Ia bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku lagi," katanya.

Akhbar ini pada 1 Mei lalu melaporkan seorang ibu tiga anak maut selepas skuter ditunggangnya terbabas akibat melanggar lubang di permukaan jalan di Kangkar Pulai.

Kejadian kira-kira 6 pagi itu, menyebabkan Jamilah Abdullah, 53, cedera di kepala, patah lima tulang rusuk dan rahang sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas hampir 10 jam bertarung nyawa.

Kemalangan berlaku ketika ibunya dalam perjalanan dari rumah di Taman Pulai Indah untuk menjaja makanan dan minuman ringan di sebuah sekolah berdekatan sempena Hari Ko-Kurikulum.

Skuter ditunggang terlanggar lubang menyebabkan wanita itu terpelanting dan ditemukan orang ramai pada 6.30 pagi dalam keadaan cedera muka tersembam di permukaan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:34 AM