TANAH mendap dan terhakis di Jalan Maarof, Kuala Lumpur, akibat hujan lebat lewat malam tadi. FOTO Ihsan DBKL
TANAH mendap dan terhakis di Jalan Maarof, Kuala Lumpur, akibat hujan lebat lewat malam tadi. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Satu lorong di Jalan Maarof, di sini, ditutup selama dua minggu untuk kerja pembaikan jalan berkenaan susulan tanah mendap dan terhakis di laluan berkenaan, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan kejadian tanah mendap dan terhakis di laluan berkenaan berlaku kira-kira 10 malam tadi.

"Susulan itu, Jalan Maarof ditutup secara keseluruhan kepada lalu lintas sehingga jam 5 pagi tadi bagi membolehkan kerja-kerja tampalan sementara jalan yang rosak dilaksanakan.

"Dua lorong (selepas Public Bank ke lampu isyarat) sudah dibuka semula kepada kenderaan awam sebaik sahaja kerja tampalan selesai dilakukan," katanya.

Menurutnya, satu lorong akan ditutup selama dua minggu bagi kerja-kerja perobohan hentian bas untuk membolehkan pelaksanaan pembaikan longkang dan membaiki jalan.

"Kerosakan berlaku pada lewat malam semalam akibat hujan lebat yang menyebabkan berlakunya mendapan di permukaan jalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 8:07 AM