Sarah Zulkifli dan Azura Abdul Jalil


AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memperoleh rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra), empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Bung Mokhtar, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bung Mokhtar yang berada di dalam kandang tertuduh itu berkata, “Saya mengaku tidak bersalah dan ingin bicara.”

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Bung Mokhtar didakwa sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad telah secara rasuah memperoleh wang suapan keseluruhan RM2.8 juta melalui isterinya Zizie Izette, 41, sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Kesemua wang itu diberi oleh dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad iaitu Madhi Abdul Hamid, 38, dan Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Iktikal Sequel Fund (PITSEQ) yang mana akaun itu di bawah nama Ziezie Izette.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melewati, Kuala Lumpur, antara 12 hingga 19 Jun 2015.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) yang boleh dihukum mengikut subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan ikat jamin RM100,000 kepada tertuduh dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk K Kumarendran yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah ikat jamin yang dikenakan termasuk syarat pasport itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun ini untuk sebutan semula kes dan pasport milik tertuduh diserahkan sehingga kes selesai.

Berita berkaitan

Ahli Parlimen dan isteri ditahan SPRM

[UPDATE] Bung Moktar dan Zizie Izette ditahan SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 10:09 AM
BEKAS Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Bhd, Bung Mohktar hadir pada didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BEKAS Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Bhd, Bung Mohktar hadir pada didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali