GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria


SEORANG lelaki meninggal dunia, manakala tiga pesakit masih mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson (HPD) dipercayai akibat keracunan metanol.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, kes pertama pada Ahad lalu membabitkan seorang lelaki warga India berusia 50 tahun yang bekerja di Klang, Selangor.

Katanya, lelaki itu datang ke daerah ini untuk melawat rakannya dan sehari kemudian mengalami simptom sesak nafas, kabur mata lalu ke HPD untuk mendapatkan rawatan dan disahkan akibat keracunan metanol selepas minum arak.

“Kes kedua dan ketiga juga pada Ahad membabitkan seorang wanita di Lukut dan seorang lelaki di Jimah.

“Mereka dipercayai membeli arak di kedai runcit dan mengalami sakit kepala dan muntah. Selepas mendapatkan rawatan di HPD turut disahkan keracunan metanol.

“Setakat ini, kita masih menunggu semua ujian sampel darah dan air kencing. Semua kes yang dirawat akan terus dipantau,” katanya dalam kenyataan di Port Dickson, hari ini.

Bagi kes kematian pula katanya, ia membabitkan seorang pekerja di Jimah Power Plant yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), bagaimanapun siasatan terperinci masih dijalankan.

Katanya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah sudah mengambil tindakan membuka Bilik Gerakan untuk memantau situasi dan koordinasi aktiviti penjualan arak terbabit.

“Operasi yang dijalankan sekitar Lukut dan Bukit Pelanduk mulai semalam. Setakat ini, tujuh premis diperiksa dan mendapati satu premis menjual arak dipercayai terbabit,” katanya.

Katanya, siasatan turut mendapati label pada produk itu tiada maklumat pengeluar, manakala tiga sampel sudah diambil dan 13 tin produk disita.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali berkata, siasatan sedang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah dan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan status kejadian sebaik siasatan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:28 PM