ANTARA minuman keras yang dirampas dalam serbuan polis di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
ANTARA minuman keras yang dirampas dalam serbuan polis di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Noor Atiqah Sulaiman


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan salah satu minuman alkohol mengandungi metanol sekali gus didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain itu produk minuman itu juga tidak mematuhi keperluan pelabelan seperti tiada nama alamat pengilang, pengimport atau ejen seperti yang dinyatakan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

Katanya, pihaknya kini mengambil tindakan penguat kuasaan ke atas produk minuman terbabit dan produk jenama lain yang tidak mematuhi perundangan makanan.

“KKM sudah mengambil sampel tiga produk minuman beralkohol terbabit, dan hasil analisis sehingga kini mengesahkan hanya satu jenama mengandungi metanol.

“Kini KKM sedang giat mengambil sampel produk minuman beralkohol jenama lain untuk dibawa ke makmal bagi tujuan analisis,” katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, mana- mana orang yang menyediakan atau menjual makanan yang mempunyai bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali.

“KKM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), pihak berkuasa tempatan serta majikan pekerja asing dan agensi berkaitan supaya mengawal serta memantau perkembangan situasi kejadian keracunan ini,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, sehingga jam 12 tengah malam semalam, KKM menerima sebanyak 55 notifikasi kes keracunan yang berpunca daripada minuman alkohol di mana 48 kes di Selangor dan tujuh kes di Kuala Lumpur. Kes di Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan sebanyak empat kes berbanding kelmarin.

“Dijangka jumlah kes akan meningkat apabila lebih ramai pesakit akan datang untuk mendapatkan rawatan bagi kes keracunan metanol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 7:52 PM