ANTARA Pati yang ditahan. FOTO Ihsan PGA Semenyih
ANTARA Pati yang ditahan. FOTO Ihsan PGA Semenyih
Norzamira Che Noh


Banting: Seramai 37 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menerusi dua tangkapan berasingan di sekitar Kelanang, Banting, semalam.

Turut ditahan, tiga lelaki warga tempatan berusia 31 hingga 59 tahun dipercayai tekong darat.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, tangkapan pertama pada 8.30 pagi selepas polis menahan tiga kenderaan yang dipandu tiga lelaki tempatan.

Katanya, hasil pemeriksaan di pesisir Pantai Kelanang itu menemukan 27 Pati warga Indonesia termasuk 18 wanita berusia 26 hingga 51 tahun.

"Kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru memasuki negara ini melalui laut dengan menggunakan bot.

"Hasil siasatan juga mendapati tiga lelaki tempatan yang ditahan dipercayai tekong darat dan berperanan sebagai 'transporter' untuk membawa Pati keluar dari lokasi pendaratan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan kedua pada 9.45 pagi membabitkan 10 warga Indonesia iaitu lapan lelaki dan dua wanita berusia 26 hingga 42 tahun yang ditahan di ladang sawit di Jalan Kelanang.

Katanya, kesemua Pati berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai cuba keluar dari negara ini melalui laut dengan menggunakan bot.

"Turut dirampas, tiga kenderaan dan telefon bimbit pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai rampasan berjumlah RM109,600.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 9:49 AM