DUA PATI ditemui lemas selepas turun dari bot tongkang dan cuba berenang kira-kira 80 meter ke Pantai Kelanang, pagi tadi.  FOTO IHSAN IPD KUALA LANGAT
DUA PATI ditemui lemas selepas turun dari bot tongkang dan cuba berenang kira-kira 80 meter ke Pantai Kelanang, pagi tadi. FOTO IHSAN IPD KUALA LANGAT
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Usaha menyusup masuk secara haram ke negara ini bertukar tragedi apabila dua pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemui mati lemas.

Dalam kejadian awal pagi tadi, mayat dua lelaki warga Indonesia itu ditemui terapung di Pantai Kelanang dan Pantai Morib, Kuala Langat di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, mayat kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui sekitar jam 6.50 pagi dan jam 9.30 pagi.

Menurutnya, mangsa dipercayai lemas selepas turun dari bot membawa mereka yang cuba mendarat di Pantai Kelanang.

"Berdasarkan maklumat, sekitar 20 PATI mendarat di lokasi berkenaan. Susulan itu, anggota IPD Kuala Langat bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah melakukan operasi sebelum menahan tujuh lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia yang cuba mendarat di sekitar perkampungan Kelanang dan kebun kelapa sawit berhampiran Pantai Kelanang.

"Menurut PATI yang ditangkap, mereka memaklumkan bot dinaiki dipukul ombak dan ribut ketika menghampiri pantai. Susulan itu tekong bot mengarahkan mereka turun dan berenang ke pantai," katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan itu menaiki bot tongkang dari Tanjung Balai, Indonesia memasuki perairan negara.

Ahmad Ridhwan berkata, kesemua pendatang yang ditangkap dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjong Sepat bagi ujian saringan Covid-19, sebelum dibawa ke IPD Kuala Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata seramai 50 pegawai dan anggota pelbagai agensi terbabit dalam operasi mengesan dan menangkap pendatang asing yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:31 PM