Tekong, dua pembantunya serta enam Pati warga Indonesia yang ditahan. FOTO Ihsan PPM
Tekong, dua pembantunya serta enam Pati warga Indonesia yang ditahan. FOTO Ihsan PPM
Mohamed Farid Noh


Pontian: Seorang tekong, dua pembantunya serta enam pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan berikutan cuba menyusup masuk ke negara ini secara haram di pesisiran Pantai Sungai Kuali, Permas, di sini, awal pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, penahanan kesemua tekong dan Pati berkenaan adalah hasil operasi bersama pasukan itu dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Katanya, PPM Wilayah Dua, anggota IPD Pontian dan anggota Balai Polis Permas membuat serbuan di pesisiran Pantai Sungai Kuali, Permas, di sini, selepas mendapat maklumat awam mengenai cubaan Pati menyusup masuk ke negara ini.

"Dalam serbuan berkenaan, kami berjaya menahan seorang tekong, dua pembantunya serta enam Pati membabitkan lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 60 tahun yang kesemuanya warga Indonesia.

"Kami turut merampas sebuah bot pancung kayu dan dua unit enjin bot 40 kuasa kuda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhd Zailani berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Pontian untuk proses siasatan lanjut.

"Tekong bot dan dua pembantunya itu akan ditahan mengikut Seksyen 4(5) SOSMA manakala Pati ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk siasatan lanjut.

"PPM Wilayah Dua berharap masyarakat untuk terus bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutamanya PPM bagi membanteras sebarang bentuk jenayah, terutama membabitkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:05 PM