GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 33 kematian dilaporkan akibat keracunan metanol di tujuh negeri setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 55 notifikasi kes keracunan metanol iaitu 25 kes di Selangor, Perak (13 kes), Pahang (lima kes), Pulau Pinang (enam kes), Kuala Lumpur (empat kes) dan masing-masing satu di Johor serta Negeri Sembilan dalam tempoh 9 September sehingga semalam.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 26 kes membabitkan warga negara manakala selebihnya adalah warga asing.

"Secara kumulatif sejumlah 33 kes kematian dilaporkan menjadikan kadar serangan sebanyak 60 peratus.

"Daripada jumlah kematian yang dilaporkan, 18 kes membabitkan warga negara manakala 15 kes adalah warga asing iaitu tujuh warga Myanmar, lima warga India dan tiga warga Nepal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tujuh kes sudah discaj dari hospital manakala terdapat 15 kes lagi masih menerima rawatan iaitu 12 kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes tidak kritikal yang dirawat di wad.

"Keracunan metanol berlaku apabila minuman beralkohol yang diminum mengandungi metanol dalam dos yang toksik.

"Metanol boleh hadir dalam kuantiti yang toksik akibat proses distilasi minuman beralkohol yang tidak sempurna atau metanol dicampur ke dalam minuman beralkohol sebelum diminum," katanya.

Katanya, keracunan metanol juga biasanya dikaitkan dengan minuman beralkohol yang dikilang secara tidak sah kerana kebiasaannya metanol dicampur ke dalam minuman sebagai pengganti etanol.

"Ini adalah kerana harga metanol yang secara relatif lebih murah berbanding etanol.

"Gejala keracunan metanol adalah seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala dan kabur penglihatan dalam tempoh lima hari pengambilan minuman beralkohol," katanya.

Menurutnya, KKM ingin menasihatkan orang awam untuk segera membawa mana-mana individu yang mempunyai gejala keracunan metanol ke klinik atau hospital yang terdekat bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

"Kita juga ingin menasihati pengguna untuk tidak meminum sebarang minuman beralkohol yang dikhuatiri tercemar dengan metanol.

"Pengguna hendaklah memastikan minuman yang dibeli mempunyai label yang mengandungi maklumat mengenai pengeluar, pengedar atau pengimport dan juga ramuan minuman beralkohol ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pengguna juga perlu mengelakkan daripada mengambil minuman beralkohol yang dihasilkan sendiri dan dijual dengan harga murah atau meragukan.

"KKM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memandang serius kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 3:30 PM