GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Pitas dekat sini, yang keracunan metanol selepas dipercayai meminum minuman bercampur 'spirit' meninggal dunia, pada Rabu lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Asits Sanna berkata, pelajar terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) disebabkan pelbagai organ gagal berfungsi.

"Seorang lagi pelajar masih memerlukan bantuan pernafasan di ICU HQE 2.

"Seramai 25 pelajar lagi sudah discaj daripada rawatan hospital," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, keputusan sampel untuk ujian peratus metanol disahkan mengandungi 89 peratus kandungan metanol oleh Jabatan Kimia Malaysia, Kota Kinabalu, pada 12 Jun lalu.

"Sehingga 10 pagi semalam, jumlah notifikasi mangsa disyaki keracunan metanol yang diterima adalah sebanyak 48 notifikasi.

"Daripada jumlah itu, seramai 27 pelajar diklasifikasikan sebagai kes yang disahkan keracunan metanol berdasarkan kepada keputusan makmal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya ingin menegaskan dan menasihati orang ramai berkenaan bahayanya mengambil minuman beralkohol yang tidak sah dan tercemar.

"Sekiranya mengalami tanda-tanda keracunan metanol seperti sakit perut, muntah, sakit kepala atau kabur penglihatan selepas mengambil minuman beralkohol, sila dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat," katanya.

Terdahulu, seramai 27 pelajar lelaki dimasukkan ke hospital akibat keracunan metanol selepas dikatakan minum minuman bikarbonat dan cecair spirit hingga menyebabkan keracunan.

Daripada jumlah itu, dua daripada mereka kritikal dan menerima rawatan di ICU HQE1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 1:20 PM