FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Amir Mamat


BERMULA tahun ini, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menetapkan dua kadar bayaran zakat fitrah kepada umat Islam iaitu RM7 dan RM14.

Ketua Menteri, Adly Zahari yang juga Pengerusi MAIM berkata, ketetapan harga itu dibuat menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka berdasarkan harga semasa beras mengikut gred yang menjadi makanan rutin harian umat Islam di negeri ini.

“Umat Islam di negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super tempatan perlu membayar sebanyak RM7, manakala RM14 pula bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya daripada beras import termasuk beras wangi, beras basmathi dan seumpamanya.

“Kita menjangkakan 20 peratus umat Islam di Melaka akan membayar dengan kadar RM14,” katanya selepas menghadiri program Sembang Santai Usahawan Lang International Corporate Titans Awards di Seri Bendahara, Ayer Keroh, hari ini.

Kadar zakat fitrah Melaka sebelum ini adalah RM6.70 sen.

Adly berkata, seramai 950 amil dilantik di seluruh negeri terdiri daripada pegawai syarak, penjawat awam serta wakil industri di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri mensasarkan peningkatan kutipan sebanyak 30 peratus dengan penetapan kadar baharu itu berbanding RM87.8 juta, pada tahun lalu.

“Kita berharap umat Islam yang layak melunaskan tanggungjawab rukun Islam ketiga ini supaya dapat dikongsi bersama golongan asnaf seperti fakir, miskin dan mualaf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 7:26 PM