GAMBAR hiasan. FOTO Rasul Azli Samad
GAMBAR hiasan. FOTO Rasul Azli Samad
Omar Ahmad


MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memutuskan pelaksanaan pembayaran zakat fitrah seluruh Johor dibuat secara atas talian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, dua kadar zakat fitrah ditetapkan iaitu RM7 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan.

“Kadar RM10 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras selain Super Tempatan iaitu beras import seperti beras wangi, beras basmathi dan lain-lain.

“Setelah mengambil kira nasihat dan pandangan yang dikemukakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, demi menjaga maslahah dan keselamatan amil fitrah daripada risiko penularan, jangkitan wabak Covid-19, MAINJ memutuskan bagi tahun ini, amil fitrah tidak ditugaskan membuat pungutan zakat fitrah dan pembayaran hanya melalui online sahaja.

“Selepas transaksi disempurnakan dengan mengemukakan butiran peribadi yang lengkap, resit rasmi bayaran akan dihantar melalui emel kepada pembayar. Bayaran fitrah dalam talian Internet digalakkan supaya ditunaikan bermula seawal Ramadan.

“Selewat-lewatnya bayaran boleh dibuat sebelum 8.00 pagi, 24 Me (sebelum Solat Hari Raya) bagi memastikan transaksi bayaran zakat diterima dengan sempurna,” katanya.

Katanya, terdapat tiga kaedah pembayaran atas talian iaitu melalui bayaran zakat fitrah melalui Zakat Johor Online Payment, Portal Johor Online Payment (JOP) dan Portal SNAP N PAY Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) melalui kaedah imbas QR KOD menggunakan telefon pintar,” katanya ketika sidang media di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini.

Tosrin berkata, dalam waktu PKP ini diharuskan Qada’ zakat fitrah bagi mereka yang tidak dapat menunaikannya selepas berusaha bersungguh-sungguh untuk membayarnya melalui saluran yang disediakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 5:43 PM