Sulaiman menerima sumbangan Food Bank dan Dana Irsyad Wakalah untuk Tabung Musa'adah Covid-19 MAIM di Pusat Islam Melaka, Bukit Palah. FOTO AMIR MAMAT
Sulaiman menerima sumbangan Food Bank dan Dana Irsyad Wakalah untuk Tabung Musa'adah Covid-19 MAIM di Pusat Islam Melaka, Bukit Palah. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


MAJLIS Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi mesyuarat dalam talian bersama Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka pada 31 Mac lalu bersetuju mengekalkan dua kadar zakat fitrah iaitu RM7 dan RM14 pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, menerusi perbincangan itu, pihaknya bersetuju supaya satu gantang ‘Baghdad’ bersamaan dengan 2.60 kilogram beras bagi Super Tempatan Gred A (5 hingga 10 peratus hancur).

Beliau berkata, justeru kadar minimum zakat fitrah wajib dilunaskan setiap umat Islam di Melaka sebanyak RM7 bagi pengguna beras Super Spesial Tempatan, manakala kadar RM14 bagi pengguna beras jenis Super Spesial Import, Basmathi, Thai/Siam dan gred beras lebih tinggi sebagai galakan kepada masyarakat Islam memakan beras jenis berkenaan.

“Dalam situasi negara masih tidak menentu akibat penularan wabak Covid-19, Pusat Zakat Melaka (Zakat Melaka) akan menyediakan mekanisme mudah, praktikal dan cepat kepada amil dan pembayar zakat bagi mengelak risiko jangkitan.

“Antaranya, mengoptimumkan kutipan zakat secara dalam talian, bayaran pandu lalu dan penggunaan kad kredit atau debit.

“Orang ramai boleh membuat bayaran zakat dalam talian melalui aplikasi senangPay oleh izakat.com dan QR Pay oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad.

“Sekiranya kutipan secara bersemuka, perlu mengambil langkah pencegahan sewajarnya seperti memendekkan waktu kutipan, menjarakkan kedudukan amil dan pembayar serta menyediakan sarung tangan dan cecair pensanitasi tangan kepada amil,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MAIM ditemui pada Majlis Penyerahan ‘Food Bank’ dan Penyerahan Dana Irsyad Wakalah untuk Tabung Musa’adah Covid-19 MAIM di Pusat Islam Melaka, Bukit Palah, Melaka, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MAIM yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud dan Mufti Negeri, Datuk Wira Abd Halim Tawil.

Sulaiman berkata, MAIM menyediakan peruntukan khas berjumlah RM5 juta untuk golongan asnaf di Melaka sebagai bantuan menyambut Ramadan dan Syawal tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan itu termasuk bantuan Ramadan dan Syawal berjumlahRM3,771,600 serta program Ihya’ Ramadan (RM200,000) dan upah amil (RM562,500).

“MAIM turut menyediakan peruntukan fidyah berjumlah RM402,550 bagi 8,051 penerima kurang berkemampuan dengan setiap seorang akan menerima RM50.

“Tahun lalu, hasil kutipan zakat fitrah sebanyak RM4,451,426 dan jumlah itu digunakan untuk membantu golongan asnaf pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 6:10 PM