SYEIKH Fadzil (tengah) bersama Syeikh Zakaria (kanan) menunjukkan kadar zakat fitrah di Kedah pada tahun ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SYEIKH Fadzil (tengah) bersama Syeikh Zakaria (kanan) menunjukkan kadar zakat fitrah di Kedah pada tahun ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi negeri ini iaitu RM7, RM14 dan RM21.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, penetapan harga zakat itu berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis dimakan kebanyakan penduduk Islam negeri Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

"Kadar RM7 adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada beras jenis super special tempatan dan setaraf dengannya manakala RM14 adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya.

"Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada beras jenis basmathi, beras jepun, beras merah dan setaraf dengannya," katanya pada sidang media ketetapan kadar zakat fitrah Kedah 2021, di Menara Zakat di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agihan Zakat dan Ahli Lembaga LZNK berkata, LZNK mensasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM11.5 juta dengan anggaran peningkatan RM900,000 berbanding kutipan tahun lalu sebanyak RM10.6 juta.

Beliau berkata, sasaran itu seiring dengan situasi orang ramai yang dapat kembali bekerja berbanding tahun lalu apabila ramai terkesan dan tidak boleh keluar bekerja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tahun lalu, kami tetapkan kadar zakat fitrah pada empat kadar iaitu RM5, RM7, RM14 dan RM21. Kadar RM5 diumumkan pada tahun 2020 bagi memberi ruang kepada golongan kurang berkemampuan menunaikan kewajipan itu semasa penularan Covid-19.

"Bagaimanapun, kami dapati ramai memilih membayar zakat fitrah pada kadar RM7 walaupun terdapat pilihan RM5. Jadi tahun ini kami jangka akan berlaku peningkatan kutipan.

"Umat Islam digalakkan membayar zakat fitrah menerusi dalam talian bagi mengelak penularan Covid-19," katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata, sebagai persediaan menghadapi Ramadan dan Syawal pada tahun ini, LZNK melancarkan program sumbangan ayam segar dinamakan sebagai Program Infak Aidilfitri kepada hampir 13,000 asnaf di Kedah.

Beliau berkata, LZNK mensasarkan sumbangan tiga ekor ayam bagi setiap keluarga asnaf dengan anggaran perbelanjaan bernilai RM522,000.

Menurutnya, orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi Portal Asnaf Care https://asnafcare.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 1:05 PM