FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Mamat


Ayer Keroh: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menetapkan dua kadar bayaran zakat fitrah kepada umat Islam negeri ini iaitu RM7 dan RM14, sama seperti tahun lalu.

Mufti Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, ketetapan kadar itu dibuat menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka berdasarkan harga semasa beras mengikut gred yang menjadi makanan rutin harian umat Islam di negeri ini.

"Umat Islam di negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super tempatan perlu membayar sebanyak RM7, manakala RM14 pula bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya daripada beras import termasuk beras wangi, beras basmathi dan seumpamanya.

"Umat Islam juga boleh melakukan pembayaran menerusi dua kaedah iaitu secara bersemuka dan atas talian. Bayaran boleh dibuat bermula 1 Ramadan ini," katanya selepas menghadiri pelancaran buku Covid-19 Ujian Kepada Manusia dan Peringatan Allah, di Hotel Mudzaffar, di sini, tadi.

Pelancaran disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali; Pegawai Memerintah 94 Hospital Angkatan Tentera (HAT), Brigedier Jeneral Dr Mohamed Hatta Manis dan penulis buku berkenaan, Datuk Mohamad Din Yusoh.

Abdul Halim berkata, seramai 1,500 amil dilantik di seluruh negeri terdiri daripada pegawai syarak, penjawat awam serta wakil industri di negeri ini bagi menjalankan pungutan zakat fitrah berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata buku yang dihasilkan Mohamad Din itu akan diagihkan secara percuma di beberapa kawasan tumpuan umum seperti masjid, surau serta perpustakaan.

Katanya, ia adalah hasil sumbangan penulis buku itu sendiri sebagai panduan umat Islam untuk beribadah ketika penularan wabak berkenaan.

"Sebagai permulaan, sebanyak 8,000 naskah buku diagihkan dan Pejabat Mufti Melaka berterima kasih kepada Datuk Mohamad Din yang bermurah hati menyumbang buku berkenaan kepada umat Islam di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 4:39 PM