Johor Bahru: Majlis Agama Islam negeri Johor (MAINJ) menetapkan kadar zakat fitrah di negeri itu pada tahun ini adalah RM7 dan RM10.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanti berkata, kadar zakat fitrah RM7 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan, manakala kadar RM10 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras selain daripada jenis Super Tempatan (Beras Import) seperti beras wangi, beras basmathi dan lain-lain.

"MAINJ mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi penetapan dua kadar zakat fitrah tahun ini.

"Kadar pembayaran zakat boleh dibuat menerusi tiga cara, iaitu secara dalam talian di http://www.epayment.maij.gov.my, serta amil zakat fitrah dan kaunter zakat MAINJ setiap daerah.

"Tahun lalu bayaran zakat fitrah 100 peratus dibuat secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, kami banyak menerima aduan daripada orang kampung menyatakan kesukaran mereka, jadi tahun ini seramai 1,648 amil dilantik seluruh negeri ini dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah.

"Semua pihak termasuk amil dan pembayar zakat mesti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya pada sidang media selepas Majlis Tautan Ukhwah di sini, hari ini.

Tosrin berkata, pihaknya mensasarkan pungutan zakat fitrah tahun ini sebanyak RM19.9 juta.

Katanya, sasaran itu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, dengan nisbah 60 peratus adalah pembayar kadar RM10 dan 40 peratus bagi pembayar kadar RM7.

Beliau berkata, umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah di awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin disempurnakan sebelum hari raya.

TOSRIN (tengah) mengumumkan kadar zakat fitrah di Johor. FOTO Omar Ahmad.
TOSRIN (tengah) mengumumkan kadar zakat fitrah di Johor. FOTO Omar Ahmad.

"Selain itu, MAINJ memperuntukkan sebanyak RM14.8 juta untuk bantuan hari raya kepada fakir dan miskin tahun ini.

"Seramai 33,025 ketua keluarga layak menerima bantuan ini membabitkan 7,846 keluarga fakir dan 25,179 keluarga miskin.

"Selain itu, seramai 10,659 saudara baru dan Orang Asli menerima bantuan raya RM300 setiap orang dengan jumlah perbelanjaan RM2.2 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 12:37 PM