BUNGA tekoma menghiasi jalan di Kampung Sungai. FOTO Nor Amalina Alias
BUNGA tekoma menghiasi jalan di Kampung Sungai. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


LALUAN di Kampung Sungai, Bachok, menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat keindahan pokok tekoma yang berbunga lebat seolah-olah bunga sakura di Jepun.

Bunga merah jambu dan putih pokok tekoma ditanam Majlis Daerah Bachok (MDB) mewarnai sepanjang 500 meter jalan di kawasan berkenaan sehingga mempesona siapa saja yang melihatnya.

Penjual jagung Noor Asnidatul Alyna Abdul Ghani, 28, berkata fenomena unik itu kali pertama disaksikan sejak berniaga dengan ibunya, Rohaida Yusof, 47, di kawasan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Katanya, fenomena ‘sakura’ itu membuatkan jalan berkenaan dipenuhi puluhan pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar sejak seminggu lalu.

“Ada yang datang seawal 8 pagi semata-mata mahu ambil gambar suasana seperti di Jepun dengan kabus pagi, paling ramai selepas 6 petang.

“Dulu, pokok ini memang berbunga tapi tidak selebat tahun ini, orang pun tak seramai ini untuk mengambil gambar,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Penduduk Nazri Ismail, 49, berkata dia antara yang terawal merakam keunikan pokok itu yang ditularkan melalui Facebook miliknya, Nazri Ismail Al-Goloki, dua hari lalu.

“Hantaran (posting) itu mendapat 688 perkongsian dan lebih 500 tanda suka (like) daripada rakan yang teruja dan kagum dengan keindahan fenomena sakura di Bachok, ” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDB Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, pihaknya menanam 125 pokok tekoma pada 2008 bagi memperindahkan kawasan laluan di sekitar Bachok.

“Kami gembira dengan tularnya keindahan pokok itu berjaya menarik perhatian pengunjung untuk ke sini. Bagaimanapun, mereka dinasihatkan menjaga kebersihan dan keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 6:42 PM