POKOK Sakura atau Tekoma merah jambu yang sedang berbunga di Taman Sri Inderapura. FOTO Mohd Rafi Mamat
POKOK Sakura atau Tekoma merah jambu yang sedang berbunga di Taman Sri Inderapura. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


SETIAP tahun selama sebulan antara Mac hingga April, empat lokasi di Kuantan akan kelihatan bunga Sakura atau Tekoma (Tabebuia pentaphylla) apabila lebih 1,000 pokok berkenaan berbunga dengan banyak secara serentak.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, kini terdapat kira-kira 1,000 pokok bunga berkenaan di daerah ini yang ditanam secara berperingkat sejak 1990 di Jalan Tanah Putih, Jalan Kubang Buaya, perumahan Cenderawasih dan Jalan Kuantan Gambang.

Katanya, terdapat tiga spesies ditanam Bahagian Landskap MPK iaitu jenis berbunga putih, merah jambu dan ungu. Jumlah bunga yang banyak pada setiap pokok menjadi tarikan utama setiap kali tiba musim berbunga.

“Pokok Sakura atau Tekoma yang besar sesuai dijadikan teduhan selain mempunyai nilai estetika terutama bagi individu yang meminati bunga berwarna merah jambu, putih dan ungu.

“Terdapat pengantin mengabadikan gambar majlis perkahwinan mereka di bawah pokok ini setiap kali musim bunga, malah pelancong yang datang ke daerah ini juga tidak ketinggalan bergambar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, difahamkan Bahagian Landskap MPK akan terus menanam pokok Sakura di daerah ini secara berperingkat dalam usaha mengindahkan selain turut menjadi tempat berteduh.

Norkamawati berkata, banyak agensi kerajaan dan swasta turut menanam pokok itu di kawasan premis mereka dan kini sedang berbunga, keindahan persekitaran menjadi lebih ketara apabila pokok berkenaan mengeluarkan bunga.

“Kini terdapat kira-kira 13,645 pelbagai jenis dan saiz pokok hiasan di daerah ini yang diselia Bahagian Landskap MPK termasuk menanam, membaja dan memangkas.

“Pokok berbahaya yang menghalang pandangan akan ditebang, kepakaran kakitangan Bahagian Landskap MPK terbukti apabila meraih pelbagai anugerah peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Tinjauan mendapati, kawasan perumahan Sri Inderapura juga terdapat pokok Sakura Malaysia di beberapa laluan utama, pokok jenis bunga merah jambu itu kini sedang berbunga lebat.

Beberapa penduduk mendakwa setiap kali April pokok berkenaan mengeluarkan bunga dengan banyak, peluang berkenaan digunakan peminat mengabadikan gambar mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 12:40 PM