Alor Setar: Bandar raya ini kini seperti musim bunga sakura di Jepun dengan bunga tekoma atau digelar bunga ‘Sakura Utara’ mekar menghiasi jalan raya di bandar raya ini.
Pokok tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia Rosea yang berasal dari Amerika Selatan, mengeluarkan bunga merah jambu dan putih menyerupai bunga sakura yang mampu bertahan hampir dua minggu.
Kira-kira 300 pokok tekoma ditanam di Bandaraya Alor Setar sejak 15 tahun lalu dan mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk mengeluarkan bunga.
Tinjauan mendapati Jalan Kuala Kedah dan Jalan Langgar antara laluan utama yang indah dengan bunga itu.
Jurugambar profesional, Shaiful Azhar Abu Bakar, 49, berkata musim bunga ini dinanti peminat seni fotografi terutama genre lanskap dan panorama.
“Panorama indah ini mampu menjadi satu tarikan pelancongan kerana seperti musim bunga Sakura di Jepun. Tapi, sayangnya ia cuma mampu bertahan sekitar dua minggu sebelum layu dan luruh.
"Mungkin MBAS perlu mencari kaedah untuk memastikan tecoma ini berbunga lebih lama dan cadangan mewujudkan Taman Sakura Malaysia sememangnya langkah tepat,” katanya.