PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur merampas barang tiruan menggunakan jenama terkenal bernilai RM126,420 yang dijual di booth jualan di ruang legar sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, Khamis lalu. FOTO Ihsan KPDNHEP
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur merampas barang tiruan menggunakan jenama terkenal bernilai RM126,420 yang dijual di booth jualan di ruang legar sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, Khamis lalu. FOTO Ihsan KPDNHEP
Mohd Azam Shah Yaacob


BERHATI-HATI jika ingin membeli-belah sempena jualan hujung tahun berikutan peniaga barang tiruan di negara ini dikesan mengambil kesempatan turut menjual barangan cetak rompak menggunakan jenama terkenal secara terbuka kepada orang-ramai.

Antara taktik digunakan peniaga barang tiruan ini seperti menyewa ‘booth’ jualan di ruang legar kompleks beli-belah terkenal dan mempromosikannya sebagai jualan hujung tahun dengan kadar potongan harga hingga 70 peratus.

Malah, bagi memperdaya pengguna, peniaga barangan tiruan turut berlakon seolah-olah mereka wakil pengedar sah jenama berkenaan.

Bagaimanapun, taktik sindiket itu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur yang berjaya merampas sebanyak 1,668 kasut dan baju jenama Adidas dalam Ops Barang Tiruan bersama wakil pengedar sah jenama berkenaan di ibu negara, Khamis lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN), Low Swee Hon berkata, dalam operasi itu, KPDNHEP Kuala Lumpur merampas sebanyak 995 pasang kasut dan sebanyak 673 helai baju yang dikenal pasti sebagai tiruan oleh wakil pengedar sah jenama berkenaan dianggarkan bernilai RM126,420.

Katanya, bagi menarik pengguna, penjual turut memaparkan kadar harga barangan yang asli lengkap dengan kadar harga barang selepas potongan mencecah sehingga 70 peratus.

“Taktik digunakan penjual barang tiruan ini memang sukar dikesan kerana ‘booth’ jualan mereka kelihatan seperti ‘booth’ jualan barangan asli dan lengkap senarai harga.

“Malah, mereka dengan berani tanpa bersembunyi mempamerkan barangan tiruan berkenaan kepada pengguna serta berlakon seolah-olah wakil penjual serta pengedar sah jenama berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Swee Hon, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika membuat pembelian sempena promosi jualan hujung tahun.

“Kita harap pengguna dapat berwaspada dan mengambil perhatian mengenai perkara ini agar tidak menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 11:01 AM