KEMALANGAN membabitkan motosikal kuasa tinggi di Kilometer 273.4 PLUS arah utara berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara. FOTO/ Ihsan Bomba
KEMALANGAN membabitkan motosikal kuasa tinggi di Kilometer 273.4 PLUS arah utara berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara. FOTO/ Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


DUA cedera selepas motosikal kuasa tinggi dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 273.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, kemalangan membabitkan motosikal BMW R1200GS yang terbabas melanggar pembahagi konkrit di kanan laluan sebelum dipercayai berlaku pergeseran yang mengakibatkan motosikal itu terbakar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kemalangan itu ke lokasi kejadian dan mendapati dua mangsa cedera.

“Tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki serta wanita dewasa yang mengalami kecederaan akibat terbabas.

“Motosikal yang terbakar itu 90 peratus terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tindakan awal anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) menjalankan rawatan awal kepada mangsa serta menghantar mangsa ke hospital menaiki untuk rawatan lanjut.

“Anggota kemudian memadamkan kebakaran motosikal terbabit. Operasi diketuai Khamis Harun itu selesai jam 8.28 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 5:17 PM