Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 300.4, Lebuh Raya PLUS dekat Gua Tempurung. - Foto Ihsan PDRM
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 300.4, Lebuh Raya PLUS dekat Gua Tempurung. - Foto Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak


Kampar: Seorang inspektor polis parah, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 300.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Gua Tempurung, di sini pagi ini.

Dalam kejadian 6.45 pagi itu, AK Gopi Nayar, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur, cedera parah selepas kereta Proton Persona dipandunya gagal mengelak tiga kenderaan lain yang sebelum itu terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu sebuah lori, Proton Persona, Proton Iswara dan Honda HRV.

"Siasatan awal mendapati kereta Iswara dinaiki dua individu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Ipoh gagal mengelak lori yang terhenti di tengah laluan, dipercayai akibat terbabas.

"Pemandu Iswara, Soh Weng Keong, 24, seorang mekanik dari Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur, gagal mengelak lalu melanggar lori berkenaan menyebabkan keretanya berpusing dua kali menghadap ke arah selatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, sebuah Honda HRV dinaiki dua lelaki yang berada di belakang, merempuh Iswara berkenaan sebelum kereta Proton Persona dipandu pegawai polis berkenaan tiba dan terbabas ketika cuba mengelak ketiga-tiga kenderaan, lalu merempuh penghadang di kiri jalan.

"Akibat kemalangan itu pegawai polis berkenaan cedera parah, empat mangsa lain, termasuk pemandu dan penumpang Iswara serta HRV cedera ringan.

"Semua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan. Pemandu lori masih belum membuat laporan mengenai kemalangan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 6:15 PM