FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Ibrahim Isa


ANGGOTA dan pegawai Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menahan pengedar rokok seludup yang menggunakan kenderaan lama untuk membawa bahan larangan itu di Kampung Rengit Laut, Rengit, Batu Pahat, 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, bertindak atas maklumat dan intipan, pasukan itu melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika membuat rondaan pihaknya melihat kelakuan mencurigakan sebelum menahan Nissan Sunny untuk menjalankan pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan membawa kepada penemuan tiga kotak yang menempatkan 40 karton pelbagai jenama rokok dipercayai diseludup di bonet kereta itu.

“Kami percaya semua rokok itu diseludup dan cuba diedarkan di kawasan sekitar.

“Berikutan itu, pemandu lelaki berusia 20-an itu ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

“Selain rokok bernilai RM2,000 kami turut menyita kereta bagi membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, rokok berkenaan untuk bekalan sekitar Rengit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 7:24 PM