ANGGOTA bomba melakukan kerja pemotongan pokok yang menghempap kenderaan di hadapan sebuah hotel di Kampung Geliga Besar susulan angin kencang. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba melakukan kerja pemotongan pokok yang menghempap kenderaan di hadapan sebuah hotel di Kampung Geliga Besar susulan angin kencang. FOTO ihsan bomba
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Dua kereta yang diparkir di hadapan sebuah hotel di Kampung Geliga Besar, di sini, rosak akibat dihempap pokok tumbang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.49 malam tadi sebelum sebuah jentera serta kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, Honda Accord dan Proton Saga didapati berada di bawah dua pokok sebelum kerja mengalih segera dijalankan.

"Kita menggunakan dua unit gergaji besi dan dibantu oleh sebuah kren dari Majlis Perbandaran Kemaman untuk kerja memotong dua pokok yang tumbang.

"Operasi mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit untuk mengalihkan pokok yang menghempap dua kereta berkenaan.

"Ketika kejadian, hujan sudah berhenti namun keadaan angin yang sangat kencang menjadi punca pokok terbabit tumbang.

"Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 11:12 AM