ANGGOTA penyelamat mengalihkan pokok tumbang yang menghempap tiga rumah, tiang elektrik serta kenderaan di Jalan Bendahara, Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA penyelamat mengalihkan pokok tumbang yang menghempap tiga rumah, tiang elektrik serta kenderaan di Jalan Bendahara, Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan APM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiga rumah di Jalan Bendahara, Taman Salak Selatan, di sini, terjejas akibat dihempap pokok tumbang, hari ini.

Malah, kejadian itu juga mengakibatkan tiang elektrik serta kereta di lokasi terbabit turut terkesan akibat dihempap pokok tumbang.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kuala Lumpur Mejar (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soeharto berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.45 malam tadi.

"Sepasukan anggota penyelamat kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, kami mendapati terdapat tiga rumah dihempap pokok setinggi kira-kira enam meter.

"Pokok tumbang yang menghempap tiang elektrik juga menyebabkan bekalan elektrik di kawasan itu terputus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dianggarkan 30 orang yang menghuni tiga rumah berkenaan terjejas akibat kejadian itu.

"Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara dibuka susulan kejadian itu.

"Kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang berkenaan sedang giat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 10:20 PM