GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh


TINDAKAN pelajar lelaki meminta tambah nilai kredit telefon bimbit daripada seorang remaja perempuan menjadi punca pergaduhan antara dua kumpulan di hadapan sebuah kafe di Pekan Beaufort, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang, pergaduhan itu membabitkan lapan lelaki terdiri daripada dua kumpulan berusia antara 14 hingga 19 tahun termasuk tiga daripadanya adalah pelajar.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan beberapa remaja di hadapan sebuah premis daripada orang awam.

“Hasil siasatan mendapati, pergaduhan membabitkan satu kumpulan terdiri daripada tiga lelaki dan satu lagi kumpulan terdiri daripada lima remaja lelaki termasuk tiga pelajar.

“Pergaduhan berpunca akibat rasa tidak puas hati lelaki dari kumpulan pertama yang mendapat tahu pelajar lelaki dari kumpulan dua ada berhubung dengan adik perempuannya dan meminta memasukkan ‘top up’ (kredit tambah nilai prabayar) pelajar lelaki itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, perkara itu menyebabkan lelaki dari kumpulan pertama berjanji untuk bersemuka di hadapan premis berkenaan untuk pelajar lelaki itu memberikan penjelasan mengenainya.

“Lelaki terbabit membawa dua sepupunya manakala pelajar lelaki berkenaan juga turut membawa empat sepupunya dan pergaduhan berlaku di kawasan berkenaan.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu bertindak menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dan sepasukan anggota ke lokasi kejadian dan mendapati pergaduhan sedang berlangsung.

“Mereka yang terbabit dalam pergaduhan itu berjaya ditahan dan hasil siasatan lanjut mendapati pergaduhan tidak membabitkan kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 4:03 PM