Hidayatul Akmal Ahmad


LAPAN penghuni Pondok Penyayang Raudah di Batu 11, Gombak, cedera dalam kejadian pokok tumbang yang menghempap pusat jagaan itu, hari ini.

Pemilik pusat jagaan asnaf itu, Mohamad Bismi Adira Mokhtaruddin, 39, berkata, ketika kejadian dia di hadapan pusat jagaan itu selepas selesai makan bersama penghuni asnaf berkenaan.

Menurutnya, ketika berehat bersama anak asnaf di situ, tiba-tiba angin bertiup kencang menyebabkan pokok berdekatan pusat jagaan tumbang.

Katanya, itu kejadian pertama dia berdepan situasi cemas menyaksikan angin kencang yang begitu dahsyat sepanjang 35 tahun menetap di situ.

“Saya hanya ingat Allah dan menyerahkan segala-galanya kepada Dia. Apa yang paling penting adalah keselamatan penghuni asnaf.

“Walaupun panik, saya berusaha menyelamatkan seramai mungkin penghuni asnaf, syukurlah tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

KEADAAN Pondok Penyayang Raudah yang terjejas akibat dihempap pokok tumbang. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN Pondok Penyayang Raudah yang terjejas akibat dihempap pokok tumbang. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, tiga dewasa dan lima kanak-kanak cedera akibat insiden itu.

Katanya, daripada lapan mangsa itu, lima daripadanya, termasuk dua kanak-kanak dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

“Seorang kanak-kanak dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan seorang lagi ke Hospital Orang Asli di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Samsor berkata, pusat jagaan asnaf itu ada lapan kediaman yang diduduki 46 penghuni.

“Pusat itu dibiayai Pusat Zakat Selangor. Daripada jumlah itu, 27 penghuni membabitkan orang dewasa, manakala 19 lagi penghuni berusia antara setahun sehingga 17 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 12:23 AM
SEORANG penghuni Pondok Penyayang Raudah yang cedera dirawat di Hospital Orang Asli Gombak. FOTO Ihsan Pembaca
SEORANG penghuni Pondok Penyayang Raudah yang cedera dirawat di Hospital Orang Asli Gombak. FOTO Ihsan Pembaca