LELAKI ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kedai menjual barangan lusuh di Padang Temu, Melaka, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
LELAKI ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kedai menjual barangan lusuh di Padang Temu, Melaka, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
Mohd Hilmie Hussin


LELAKI ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kedai menjual barangan lusuh di Kawasan Industri Kecil dan Sederhana Padang Temu, Melaka, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, mangsa dipercayai rakyat tempatan tetapi belum dikenal pasti identitinya ditemukan rentung dalam keadaan tersandar pada dinding sebuah bilik di rumah kedai berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada jam 12.45 tengah malam sebelum anggota Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bergegas ke tempat kejadian.

“Pemeriksaan lanjut di rumah kedai itu menemukan mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan yang rentung dalam sebuah bilik di bahagian belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemui kesan perbuatan jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu, Samser Shariff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.17 tengah malam dan sepasukan 23 anggota dan pegawai dari BBP Jalan Kubu dan Bukit Katil dikejarkan ke lokasi.

“Bomba tiba dua minit kemudian dan rumah kedai itu terbakar kira-kira 50 peratus manakala semua barangan lusuh musnah.

“Bomba juga menjumpai seorang lelaki berusia lingkungan 50-an rentung dan mayatnya diserahkan kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 3:25 PM