Mohd Hafizee Mohd Arop


WANITA warga emas ditemui rentung di katil rumahnya dalam kebakaran di Jalan Besi, Kampung Baru Buntong, Ipoh, hari ini.

Difahamkan, Lee Soo Nooi, 66, tinggal di rumah berkenaan bersama seorang adiknya yang tidak berada di kediaman itu ketika kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Mohd Subri Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.56 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi pemadaman dilakukan bagi mengelakkan kebakaran merebak ke rumah bersebelahan disebabkan jarak terlalu dekat.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal 10 minit kemudian sebelum pihaknya menemui mayat di atas katil di dalam bilik rumah berkenaan.

AZMI (dua kanan) meninjau lokasi kebakaran. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
AZMI (dua kanan) meninjau lokasi kebakaran. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop

“Mayat hangus 95 peratus manakala kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan 70 peratus rumah berkenaan.

“Bomba menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman.

Mohd Subri berkata, punca kejadian masih belum dikenal pasti dan unit forensik kebakaran sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi mengetahui punca kebakaran itu berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 9:40 AM