Kebakaran membabitkan kedai dua tingkat di Jalan Temiang hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Kebakaran membabitkan kedai dua tingkat di Jalan Temiang hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Azzman Abdul Jamal


TINDAKAN pantas bomba berjaya menyelamatkan nyawa lelaki warga China daripada rentung dalam kebakaran membabitkan kedai dua tingkat di Jalan Temiang, Seremban hari ini.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa yang menyewa bilik di tingkat dua bangunan itu dilaporkan melecur 60 peratus pada bahagian belakang badan.

Lelaki berusia 35 tahun itu berjaya diselamatkan bomba yang menemuinya di tingkat bawah ketika cuba keluar dari bangunan berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban serta Seremban 2 dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan 7.08 malam.

“Sebaik tiba, kami dapati kebakaran berlaku membabitkan bangunan kedai dua tingkat.

“Tingkat atas musnah sepenuhnya manakala tingkat bawah musnah 30 peratus.

“Bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap di tingkat bawah sebelum diserahkan kepada ambulans dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 10:02 PM