AMRAN (kiri) menunjukkan heroin seberat 4.54 kilogram yang dirampas daripada suspek.
AMRAN (kiri) menunjukkan heroin seberat 4.54 kilogram yang dirampas daripada suspek.

Kuantan: Tiga lelaki dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah diberkas polis bersama-sama heroin seberat 4.54 kilogram (kg) di Maran, Jumaat lalu.

Pada kejadian kira-kira 7.30 malam itu, suspek berusia 29 hingga 47 tahun yang berasal dari Selangor dipercayai sedang menunggu ‘orang tengah’ untuk mengedarkan itu kepada penagih dadah di sekitar Maran, Temerloh dan Jerantut.

Mereka ditahan menerusi operasi khas oleh anggota Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Superintendan Amran Ramli berkata, ketika serbuan dilakukan, ketiga-tiga suspek yang baru tiba di bandar Maran cuba untuk melarikan diri.

“Anggota polis terpaksa bergelut dengan ketiga-tiga suspek itu yang tiba-tiba bertindak agresif dalam usaha mahu melepaskan diri.

“Bagaimanapun, mereka berjaya diberkas tidak lama kemudian. Polis kemudian menemui 10 paket plastik yang mengandungi serbuk keputihan dipercayai dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM150,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Logistik Alor Akar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuantan di sini, semalam.

Amran berkata, suspek kemudian dibawa ke IPD Maran untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 7:26 AM