NORZAMRI (dua dari kiri) menunjukkan motosikal dan komponen yang dirampas. FOTO Roselan Ab Malek.
NORZAMRI (dua dari kiri) menunjukkan motosikal dan komponen yang dirampas. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


PENGANGGUR ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes kecurian empat motosikal di daerah Maran dan Temerloh.

Suspek berusia 27 tahun yang juga pakar ubah suai kunci motosikal itu ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Felda Jengka, dekat Maran, pada 9 malam, 26 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, polis turut merampas sebuah motosikal Honda EX berwarna merah hati dan anak kunci motosikal, serta tiga casis dan beberapa komponen motosikal.

Katanya, siasatan awal terhadap tiga casis motosikal yang dirampas didapati masih dilaporkan hilang berkaitan dua kes curi motosikal di Maran dan di Temerloh.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes curi motosikal di daerah berkenaan.

“Modus operandi suspek ialah mencuri motosikal menggunakan kunci yang diubah suai, suspek dipercayai menceraikan beberapa komponen motosikal untuk dijual,” katanya pada sidang media di IPD Maran, hari ini.

Norzamri berkata, suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dengan kes dadah, dan turut positif methamphetamine.

Katanya, polis juga sedang mengesan seorang rakan suspek yang dipercayai terbabit kes curi motosikal di daerah ini dan Temerloh.

Beliau berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

“Suspek kini direman untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 5:43 PM