TAI disahkan meninggal dunia. FOTO NSTP
TAI disahkan meninggal dunia. FOTO NSTP
BERNAMA

RAKYAT Malaysia, Datin Tai Siew Kim, 56, disahkan terkorban susulan kejadian gempa bumi berukuran 5.8 skala Richter yang menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 2.07 petang waktu tempatan, hari ini.

Seperti yang dimaklumkan kepada Bernama, Tai bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily.

Tai bercuti bersama anak lelakinya serta sekumpulan rakan sekolah lamanya di Lombok semasa kejadian.

Mereka berada di pulau itu sejak 14 Mac dan dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur Isnin.

Anak lelakinya yang berusia 20 tahun yang mengalami kecederaan, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di pulau itu.

Suami Tai, Ketua Pengarang China Press Datuk Teoh Yang Khoon dijadualkan berlepas ke Lombok pagi esok.

Wisma Putra dalam satu kenyataan malam tadi, menyatakan mangsa yang terkorban bersama enam yang lain dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Timur ketika gempa itu melanda.

“Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan. Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan (Indonesia) belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

“Kementerian melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap semua mangsa serta keluarga mereka ekoran insiden itu,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut menyarankan rakyat Malaysia di kawasan terjejas untuk melapor diri di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta atau menghubungi talian +62 813 8081 3036 atau emel [email protected].

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Malaysia di Jakarta Indonesia Mohd Hail Aniff Mohd Fauzi mengesahkan identiti mangsa berkenaan.

Berita berkaitan

Rakyat kita terbunuh gempa bumi di Lombok

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 10:38 PM