PENDUDUK mengeluarkan motosikal dari runtuhan bangunan di Gunungsari Lombok Barat. FOTO Reuters/Antara Foto
PENDUDUK mengeluarkan motosikal dari runtuhan bangunan di Gunungsari Lombok Barat. FOTO Reuters/Antara Foto
Nor Azizah Mokhtar


SERAMAI 84 rakyat Malaysia yang berada di Lombok, Indonesia ketika gempa bumi bermagnitud 7 melanda pulau itu, semalam dilaporkan selamat.

Timbalan Duta Besar Malaysia Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, setakat jam 12.15 tengah malam tadi, pihak kedutaan sudah dapat menghubungi kesemua mereka.

“Kedutaan juga sudah berjaya menghubungi pelajar Malaysia yang menuntut di Bali dan mereka juga dilaporkan berada di dalam keadaan selamat.

“Pada masa ini, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) juga sudah menarik kembali amaran tsunami yang dikeluarkan,” katanya.

Tambahnya, rakyat Malaysia yang berada di Lombok dinasihatkan untuk kekal berada di tempat yang selamat dan menghindari kawasan berisiko termasuk bangunan yang mengalami kerosakan.

“Sebahagian kawasan di Lombok Utara dan Lombok Timur masih terputus bekalan elektrik dan warga Malaysia yang terkesan dinasihatkan untuk kekal tenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Mereka yang merancang untuk ke Lombok dalam masa yang terdekat juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan semasa,” katanya.

Selain itu katanya, rakyat Malaysia yang mahu ke sana diminta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan berdaftar dengan Kedutaan.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia di Lombok yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi nombor telefon +62215224947 dan +62 81380813036 (WhatsApp) serta emel [email protected] atau [email protected].

Berita berkaitan

Terkini: 91 terkorban gempa bumi Lombok

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 1:07 PM