ABDULLAH Mat menunjukkan buku pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018. FOTO Syamsi Suhaimi
ABDULLAH Mat menunjukkan buku pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail

KELANTAN merekodkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 terbaik dalam tempoh 10 tahun apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.84.

Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan Abdullah Mat berkata, jumlah itu meningkat 0.11 mata berbanding 4.95, tahun lalu.

Katanya, 262 calon SPM 2018 di negeri ini memperoleh sekurang-kurangnya semua A- dalam setiap mata pelajaran berbanding 199 calon tahun 2017.

“Tahun ini, seramai tiga pelajar dari Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra memperoleh semua A+ berbanding hanya seorang tahun lalu.

“Calon yang layak mendapat sijil peringkat negeri adalah 19,466 calon dengan peratus peningkatan 0.99 peratus berbanding tahun lalu,” katanya dalam Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2018 di sini hari ini.

Menurutnya, 28 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus termasuk tujuh Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) berbanding hanya 24 sekolah tahun lalu.

“Antara sekolah itu adalah SMK Ismail Petra, SMK Dato Ahmad Maherdan Maktab Sultan Ismail

“SM Sains Machang merekodkan kelulusan 100 peratus bagi semua mata pelajaran manakala 15 sekolah mencapai kelulusan 85 peratus ke atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 5:08 PM