TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO Arkib NSTP
TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO Arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail


PAS meminta kerajaan mengambil tindakan lebih tegas untuk menangani isu penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW yang semakin berleluasa di negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan boleh menggubal undang-undang yang lebih berat terhadap mereka yang melakukan kesalahan tidak bermoral ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu memberi pendidikan kepada rakyat untuk lebih memahami dan menghormati agama lain.

“Pertamanya, saya tengok kerajaan perlu gubal undang-undang dengan tingkatkan hukuman lebih tegas. Undang-undang yang ada longgar orang tidak takut.

“Kedua, kita kena bagi pendidikan kepada rakyat untuk memahami dan menghormati agama lain, tidak kritik agama dengan memasukkan ke dalam silibus di peringkat sekolah.

“Ketiga, kerajaan perlu segera bertindak, jangan tunggu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Solat Hajat Menangkis Fitnah dan Taklimat Isu Semasa di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut meminta kerajaan menyemak semula keperluan menghapuskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dalam menangani isu penghinaan terhadap agama.

“Sekarang media sosial terbuka, perlu semak balik apakah perlu kita hapuskan akta mencegah ‘fake news’ ini. Bagi PAS, akta ini perlu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, PAS mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap parti itu.

“Kita mengalu-alukan untuk panggil siapa sahaja dalam PAS, kita tahu orang yang dipanggil berhubung isu sama sahaja.

“PAS buka pintu dan tiada masalah dan kita bagi kerjasama penuh kepada SPRM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 9:49 AM