(Gambar fail) Peguambela, Mohamed Haniff Khatri Abdulla (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Duta bagi memfailkan pembubaran dan pengharaman parti Umno berikutan melanggar perlembagaan parti itu semalam. FOTO Hafiz Sohaimi
(Gambar fail) Peguambela, Mohamed Haniff Khatri Abdulla (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Duta bagi memfailkan pembubaran dan pengharaman parti Umno berikutan melanggar perlembagaan parti itu semalam. FOTO Hafiz Sohaimi
Ibrahim Isa

TINDAKAN Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) melanjutkan tempoh pemilihan Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan UMNO berdasarkan perlembagaan parti politik itu dan ia tidak sepatutnya dijadikan isu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, keputusan ROS dibuat berdasarkan perlembagaan satu-satu parti politik dan dalam kes ini, perlembagaan UMNO membenarkannya.

“Ia berbeza dengan kes lain, bagi kes Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), mereka perlu mengadakan pemilihan di peringkat cawangan, kemudian hantar perwakilan ke atas, tetapi mereka tidak melakukannya, jadi itu sudah melanggar perlembagaan mereka sendiri.

“Keputusan ROS adalah kata putus kepada perlembagaan UMNO, jadi ROS meluluskan lanjutan tempoh pemilihan berdasarkan perlembagaan UMNO sekarang ini, tidak timbul isu mengatakan UMNO tidak sah dan sebagainya.

“Selain itu, perlembagaan UMNO ada menyatakan mana-mana ahli yang membawa kes mahkamah kepada UMNO akan dilucutkan keahlian secara automatik,” katanya pada sidang media selepas program sarapan bersama masyarakat Tiong Hua di Taman Bukit Kempas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan 16 ahli UMNO memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan UMNO sebagai parti politik berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Semua 16 ahli dari Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Selangor mencabar kesahihan UMNO sebagai parti politik berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan kerana menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan sebanyak dua kali.

Pada masa sama, Nur Jazlan mengalu-alukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian untuk bertanding di kerusi sama pada PRU-14.

Menurutnya, kemenangannya (Osman) sebelum ini disebabkan dia berkhidmat bersama UMNO membabitkan jentera dan penyokong Barisan Nasional (BN).

“Bagaimanapun, beliau ingin bertanding semula di kerusi itu bersama PPBM, saya alu-alukan kehadiran beliau untuk bertanding di kerusi itu namun saya pasti penyokong BN akan membuat pilihan tepat.

“Dulu mereka (penduduk) mungkin menyokongnya kerana parti diwakilinya, kita perlu ingat pengundi bijak menilai bukan saja calon malah parti politik.

“Saya pula, bergantung pada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan namun penduduk sedar apa yang saya lakukan selama ini dan mempunyai rekod perkhidmatan baik,” katanya.

Pada PRU-12, Osman memperoleh 15,897 undi, menewaskan calon PAS, Suhaizan Kaiat (7,711 undi) dengan majoriti sebanyak 8,86 undi namun digugurkan pada PRU-13.

Sementara itu, Nur Jazlan memperoleh 43,751 undi menewaskan calon PAS, Salahuddin Ayub 40,525 undi dengan majoriti 3,226 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 6:15 PM