Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Salor Datuk Husam Musa kerana memfitnah parti itu menerima 'dedak' RM90 juta, tegas Timbalan Presiden parti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Beliau berkata, tuduhan jahat bahawa parti itu menerima sejumlah wang daripada UMNO melalui akaun Affin Bank adalah rantaian fitnah yang pernah dilemparkan oleh Sarawak Report.

“PAS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan jahat Husam bahawa PAS menerima dana RM90 juta daripada UMNO melalui akaun Affin Bank.

“PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report.

“Pihak guaman kita diminta meneliti kenyataan dan tuduhan jahat ini seterusnya mengemukakan saman fitnah dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam melalui klip video yang ditularkan, Husam menaburkan fitnah bahawa akaun bank tempatan berkenaan digunakan untuk menyalurkan dana terbabit.

"Adik kakak nak tau bank mana yang diguna. Ambe (saya) teka malam ini, tetapi hok ambe teka sekalanya, betul 99 peratuslah kerana hok ambe teka tu hok ambe tau.

"Betul ke dok, duit-duit ini melalui Affin Bank," dakwanya yang juga bekas Naib Presiden PAS yang kini menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Sehubungan itu, beliau akan mendedahkan lagi isu berkenaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 8:04 PM