NORA Mohd Som (empat dari kiri) melawat Nur Qalesya Damia. FOTO Ihsan JASMINE
NORA Mohd Som (empat dari kiri) melawat Nur Qalesya Damia. FOTO Ihsan JASMINE
Mary Victoria Dass


PERTUBUHAN Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan Johor (JASMINE) akan mengikuti perkembangan Nur Qalesya Damia atau Damia, 8, yang menderita lidah bengkak dan tersembul keluar dari semasa ke semasa.

Pengerusinya Datin Nora Mohd Som berkata, JASMINE juga akan berusaha bagi mempermudah serta melancarkan urusan keluarga dengan pihak hospital.

“Kami mendapat berita mengenai Damia dan merancang mengunjunginya, Alhamdulillah hari ini kami dipertemukan.

“Kami akan mengikuti perkembangan Damia dan mendoakan supaya dia sembuh dan menjalani kehidupan lebih selesa pada masa depan.

“Diharap kunjungan JASMINE memberi semangat moral kepada keluarga Damia,” katanya ketika mengunjungi Damia di Johor Bahru, hari ini.

Dalam kunjungan selama 45 minit hari ini, JASMINE turut menyampaikan sumbangan sejumlah wang dan barangan keperluan untuk keluarga berkenaan.

Penderitaan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas yang hidup dengan lidahnya tersembul keluar kira-kira lima hingga enam sentimeter dikongsi Harian Metro, baru-baru ini.

Damia menghadapi kesulitan untuk makan, bertutur dan terpaksa menggunakan jari untuk menolak makanan ke dalam mulut serta tidak mampu mengunyah sebaliknya hanya menelan makanan yang diberikan.

Sebelum ini, Damia pernah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan di hospital swasta di Larkin serta dinasihatkan menjalani pembedahan, namun ia terpaksa ditangguh kerana keluarganya tidak mampu menyediakan wang berjumlah RM30,000.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan bagi menampung rawatan Damia menerusi akaun Maybank ibunya, 151276050894 atau menghubungi 019-7943850.

Berita berkaitan

'Jazaakallah, semoga Allah membalas budi semua'

Damia ceria, boleh makan

Mohon doa untuk Damia

Beratnya ujian mu, Damia...[METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 3:24 PM