Noor Atiqah Sulaiman


TIGA individu termasuk seorang Tan Sri direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah di Kuala Lumpur yang dimiliki kuil Sri Mahamariamman Devasthanam.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Nik Muizuddin Nik Muhammad di Mahkamah Majistret Putrajaya, bermula hari ini sehingga 7 Mac.

Difahamkan, ketiga-tiga individu terbabit termasuk seorang pengurusan tinggi yang bertanggungjawab menguruskan kuil Hindu di Batu Caves, Selangor.

Semalam, sepasukan pegawai penyiasat SPRM menyerbu rumah pengurusan tinggi berkenaan, selain menggeledah pejabat pengurusan kuil di Batu Caves dan rumah pegawai kanannya.

 SEORANG Tan Sri ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung pembangunan tanah di Kuala Lumpur. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
SEORANG Tan Sri ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung pembangunan tanah di Kuala Lumpur. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Sebelum ini, seorang pemimpin PKR menggesa SPRM untuk menyiasat dakwaan penyelewengan terhadap seorang pengerusi jawatankuasa kuil Hindu membabitkan dana kerajaan dan orang ramai.

Kuil yang terletak di Jalan Bandar itu adalah tertua di Kuala Lumpur dan diuruskan oleh Lembaga Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam.

Pihak berkenaan turut menguruskan Kuil Batu Malai Sri Subramaniar di Batu Caves, dan Kuil Kortumalai Vinayagar di Persiaran Maybank.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 1:10 PM