Amir Abd Hamid


SEORANG tukang jahit tidak mensia-siakan masa terluang selama tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu dengan menghasilkan kurta gergasi setinggi hampir 20 meter bertemakan Jalur Gemilang.

M Puvaneswari, 35, pemilik kedai jahit pukal berkata, kurta berkenaan setinggi 63 kaki (19.2 meter) iaitu angka sama dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-63.

Pada masa sama, pemegang ijazah perakaunan dari Universiti Selangor (Unisel) ini berkata, dia turut melakukannya bagi mempromosikan jenamanya, Shaz Kurta yang diusahakan menerusi Shaz Garment.

"Bagi menghasilkan kurta gergasi ini, saya dibantu ibu, bapa, adik dan rakan. Pada mulanya, kami anggap ia mustahil untuk dihasilkan kerana terlalu besar serta panjang.

"Namun kami hasilkan sedikit demi sedikit sehingga siap. Paling sukar untuk dihasilkan ialah bintang 14 bucu, lebih lima hari kami nak siapkan," katanya ditemui selepas majlis ringkas menaikkan kurta gergasi itu di perkarangan kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Batu Caves, hari ini.

KURTA gergasi bertemakan Jalur Gemilang di perkarangan Batu Caves. FOTO Aswadi Alias
KURTA gergasi bertemakan Jalur Gemilang di perkarangan Batu Caves. FOTO Aswadi Alias

Menurutnya, difahamkan kurta rekaannya itu adalah terpanjang di Malaysia yang tidak pernah dibuat sebelum ini dan proses untuk mendapatkan pengiktirafan dalam Malaysia Books of Record juga sudah dibuat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih (DSK) Datuk N Sivakumar yang juga Pemegang Amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam berkata, pihaknya bersetuju supaya kurta gergasi itu dipamerkan di perkarangan tugu Dewa Murugan sehingga 31 Ogos ini.

"Menerusi DSK, kami turut membantu beliau daripada segi membina perancah untuk menggantung kurta gergasi ini. Semua orang kenal kuil Batu Caves. Ia menjadi tarikan pelancong yang utama di Malaysia.

"Usaha seperti ini kalau kita tak bantu, siapa lagi nak bantu. Kita setuju untuk gantung di Batu Caves. Sesiapa yang datang boleh lihat, ambil gambar dan video serta berkongsi di media sosial. Hari Kebangsaan tetap diraikan dengan cara tersendiri walaupun kekangan akibat Covid-19.

"Hari Kebangsaan disambut semua kaum. Mesej penting ialah tema Jalur Gemilang kurta ini, tiada sesiapa boleh longgarkan hubungan erat sesama kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 7:04 PM