PENGANUT Hindu di Kuil Arulmigu Sri Ayyappaswamy Devasthanam Batu Caves menyambut perayaan Ponggal dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Aswadi Alias
PENGANUT Hindu di Kuil Arulmigu Sri Ayyappaswamy Devasthanam Batu Caves menyambut perayaan Ponggal dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Aswadi Alias
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kebiasaannya tanggal 14 Januari setiap tahun, perkarangan Kuil Arulmigu Sri Ayyappaswamy Devasthanam di Batu Caves akan dipenuhi penganut Hindu bagi merayakan Hari Ponggal.

Namun suasana kali ini berbeza dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ia disambut secara sederhana.

Pengerusi kuil terbabit, K Uwajaya berkata, walaupun tanpa kehadiran orang ramai, perayaan kedua terbesar itu tetap disambut dengan upacara ritual seperti biasa.

Katanya, kali ini mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Hari ini, kami sambut Ponggal berbeza seperti sebelum ini. Kalau dahulu, lebih 1,000 penganut Hindu akan hadir ke kuil ini, tetapi hari ini hanya jawatankuasa tidak sampai sepuluh orang.

"Selebihnya kita sudah maklumkan untuk menyambutnya di rumah masing-masing demi keselamatan semua ketika Covid-19 masih menular," katanya ketika ditemui di Batu Caves, hari ini.

Bagi Setiausaha Persatuan Kesenian dan Kebudayaan India Kuala Lumpur dan Selangor Selvarajoo Gopal, tahun sambutan kesyukuran itu diadakan tanpa sebarang acara hiburan termasuk nyanyian dan tarian seperti kebiasaan.

Katanya, mereka hanya memasak nasi manis berasaskan susu, gula perang, kekacang dan minyak sapi serta beberapa manisan lain sebelum diteruskan dengan upacara sembahyang.

"Kita faham ketika pandemik dan PKP ini, bukan saja di kuil malah rumah ibadat lain juga menghadapi kekangan sama.

"Justeru, sebagai pengendali kuil, semua SOP dipatuhi bagi mengelakkan jangkitan. Setakat ini perayaan berjalan lancar dan akan diteruskan selama tiga hari," katanya.

Seorang peniaga cermin kenderaan, M Hanita berkata, dia bersama keluarga menyambut perayaan tahunan itu di premis perniagaan miliknya di Batu Caves.

Menurutnya, walaupun dengan SOP ketat, ia sudah memadai bagi menunjukkan rasa kesyukuran seperti mana golongan petani di India.

"Walaupun ini pertama kali disambut begini, ia tetap dirasai. Yang penting kita semua dapat menjaga kesihatan diri dan keluarga," katanya.

Sementara itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk RS Mohan berkata, pihaknya mengeluarkan makluman kepada pihak berkaitan mengenai larangan mengadakan sambutan di tempat awam.

Katanya, pihaknya menggalakkan sambutan diadakan di rumah masing-masing manakala bagi mereka di kuil, ia perlu memastikan SOP dipatuhi.

"Saya minta supaya semua penganut Hindu untuk mematuhi arahan kerajaan demi kebaikan semua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 3:04 PM