Maszlee bersama calon anugerah guru inspirasi McDonald's. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Maszlee bersama calon anugerah guru inspirasi McDonald's. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A’isyah Sukaimi


MCDONALD’S Malaysia menghargai jasa dan pengorbanan guru menerusi penganjuran acara tahunan iaitu Anugerah Guru InspirasiMcDonald’s yang kini masuk tahun ketiga.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, anugerah itu diadakan bermula pada 2017 serta menerima 1,000 pencalonan daripada rakyat dan jumlah meningkat kepada 3,000 pencalonan tahun lalu.

Menurutnya, untuk kali ini, dianggar lebih 10,000 pencalonan akan diterima berdasarkan penyertaan menggalakkan tahun sebelumnya, selain hebahan mengenai anugerah berkenaan.

“Justeru, McDonald’s Malaysia mengajak orang ramai untuk menghantar kisah inspirasi guru dalam mendidik anak bangsa yang boleh dihantar bermula hari ini (1 Mac) sehingga 31 Mac menerusi laman web di www.mcdonalds.com.my.

“Daripada pencalonan ini, seramai 25 guru bertuah bakal dipilih untuk anugerah ini yang akan diumumkan pada Mei sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei,” katanya pada pelancaran Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s di Kementerian Pendidikan Putrajaya, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Pada masa sama, Azmir berkata, guru terpilih dengan kisah inspirasi yang menarik akan menerima hadiah berbentuk wang tunai RM5,000 beserta trofi dan sijil penghargaan dalam satu majlis dianjurkan oleh sekolah masing-masing sempena sambutan Hari Guru.

Katanya, individu yang mencalonkan guru terbabit akan menerima baucar hadiah McDonald’s bernilai RM200.

Dalam pada itu, beliau berkata, McDonald’s Malaysia bakal memberi kejutan sebagai penghargaan kepada kira-kira 450,000 guru di Malaysia dengan pemberian makanan percuma satu set di mana-mana restoran McDonald’s bermula 16, 17 dan 18 Mac ini menerusi baucar makanan dihantar ke sekolah.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s adalah inisiatif di bawah program kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan McDonald’s Malaysia pada tahun ini.

“Selain itu, kita juga menganjurkan seminar motivasi yang kini masuk tahun keempat pelaksanaannya di beberapa lokasi di seluruh negara disampaikan oleh penceramah motivasi terkenal Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah pada April ini.

“Kami berharap inisiatif ini mampu mengeratkan hubungan antara guru dengan warga kerja McDonald’s, usaha ini adalah tanggungjawab memberi semula kepada masyarakat seterusnya impak positif kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Maszlee berkata, beliau berharap lebih banyak syarikat swasta lain turut mengikut jejak langkah McDonald’s untuk mengadakan program seumpama itu.

“Diharapkan Anugerah Guru Inspirasi Mcdonald’s ini mampu memberi dorongan kepada guru untuk melakukan yang terbaik sama ada di dalam atau luar kelas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:17 PM