ANUGERAH Guru Inspirasi (AGI) anjuran McDonald’s menghargai sumbangan pendidik dalam melahirkan insan berjaya.
ANUGERAH Guru Inspirasi (AGI) anjuran McDonald’s menghargai sumbangan pendidik dalam melahirkan insan berjaya.
Siti Nurazlinee Azmi

SERAMAI 25 guru dari seluruh negara menerima Anugerah Guru Inspirasi (AGI) anjuran McDonald’s sebagai menghargai sumbangan pendidik melahirkan insan berjaya.

Ini kali kedua anugerah itu diadakan, dan menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 3,000 pencalonan, tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

Sekurang-kurangnya seorang guru dari setiap negeri dipilih sebagai pemenang anugerah, berbanding hanya enam guru pada tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, AGI bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada guru-guru yang melaksanakan tanggungjawab mereka melebihi tugas hakiki dan secara positif.

“Semua guru berkenaan diberi pengiktirafan menerusi kemampuan mereka memberi inspirasi dan membuat perubahan dalam diri pelajar termasuk merubah minda pelajar ke arah yang lebih baik, membantu memperbaiki pencapaian akademik pelajar dan meningkatkan tahap keyakinan dan jati diri pelajar.

“Anugerah ini adalah usaha kami untuk mengiktiraf dan menghargai jasa guru yang banyak berkorban dan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar,” katanya.

Salah seorang pemenang AGI McDonald’s tahun ini, guru Sekolah Henry Gurney Melaka, Othman Markom, 53, ketika dihubungi, berkata pada mulanya beliau tidak pernah tahu wujudnya AGI McDonald’s sehingga dihubungi salah seorang pelajar yang meminta izin untuk mencadangkan namanya disenaraikan dalam program itu.

“Saya dimaklumkan ini kali pertama guru di Jabatan Penjara menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s dan sangat berterima kasih kepada McDonald’s di atas pengiktirafan sumbangan guru di dalam sistem pendidikan juvana.

“Anugerah yang diterima memberi impak kepada saya dan juga pelajar. Guru bukan sekadar menjadi contoh kepada perkembangan emosi dan sahsiah pelajar mereka tetapi turut memainkan peranan sebagai ibu bapa di sekolah dengan menunjukkan kasih sayang, membimbing dan menjadi sumber motivasi tanpa mengira latar belakang pelajar.

“Nilai ini akan mengukuhkan hubungan di antara pendidik dan pelajar. Pelajar pula menjadikan anugerah ini sebagai landasan yang boleh digunakan untuk menzahirkan penghargaan dan rasa hormat selain membalas jasa baik guru dalam membina kecemerlangan akademik, akhlak dan sahsiah mereka,” katanya.

Setiap pemenang anugerah itu menerima RM5,000, trofi dan sijil penghargaan dalam majlis sambutan Hari Guru yang dianjurkan di sekolah terbabit.

Mereka yang mencalonkan pula kebanyakannya kalangan pelajar, menerima sijil hadiah McDonald’s bernilai RM200 atas kisah inspirasi yang dikongsikan.

Anugerah ini membuka peluang kepada murid dan pelajar untuk menamakan guru yang gigih melaksanakan tugas hakiki di sekolah di samping menjadi pembimbing kejayaan mereka.

Inspirasi pelajar terhadap guru yang dipilih boleh diluahkan dalam laman web khas, Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s.

Antara kriteria pemilihan pemenang termasuk usaha meningkatkan pencapaian pelajar, teknik pengajaran inovatif, tindakan melebihi tugas sebenar untuk membantu pelajar dan juga impak terhadap diri pelajar.

Pemilihan pemenang dibuat dengan teliti oleh panel juri terdiri daripada wakil McDonald’s, Kementerian Pendidikan, media dan juga rakan-rakan perniagaan McDonald’s.

Antara kisah menarik pemenang yang boleh diketengahkan ialah guru yang menaikkan semangat pelajar yang ketinggalan untuk cemerlang selain guru yang mengutamakan kepentingan pelajar sehingga sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk membantu anak didiknya.

Selain penyampaian anugerah, McDonald’s turut menganjurkan seminar bersama pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah di 10 lokasi di seluruh negara dari 26 April lalu hingga 24 Julai ini.

Seminar motivasi bertajuk ‘Adakah Aku Guru yang Hebat?’ adalah sebahagian daripada sambutan Hari Guru tahun ini yang memasuki tahun ketiga penganjurannya.

McDonald’s juga meraikan guru dengan mengadakan majlis Sambutan Hari Guru di semua restorannya dari 16 April hingga 15 Mei bersempena dengan Hari Guru Malaysia pada 16 Mei lalu.

Sehingga hari ini, McDonald’s berjaya mendekati sekurang-kurangnya 10,000 guru di seluruh negara menerusi penganjuran seminar itu sejak 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 10:59 PM