DR DZULKEFLY AHMAD
DR DZULKEFLY AHMAD
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berputus asa dalam usaha untuk mewajibkan suntikan vaksin imunisasi walaupun mengakui sukar untuk melaksanakan sesuatu program secara mandatori.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian mempunyai tanggungjawab menyeluruh dalam memastikan golongan sasar dalam program itu mendapat pencerahan lanjut mengenai kepentingan vaksin.

“Apapun kami akan mulakannya (dasar mewajibkan suntikan vaksin), tapi yang paling penting ialah keinsafan dan kesedaran ibu bapa bahawa keselamatan dan kesihatan anak mereka penting dan tahu risiko sekiranya tidak divaksin.

“Golongan antivaksin hanya diberi pendedahan dari sudut negatif dan tidak berdasarkan bukti kesihatan, oleh itu semua pihak bukan sahaja di kementerian, malah JAKIM dan ramai mufti memberi penjelasan positif mengenai vaksin,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Codex Berkaitan Lemak dan Minyak (CCFO) ke-26 di sini, semalam.

Kelmarin, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan akan dibincang pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, CCFO yang diadakan selama lima hari bermula hari ini mengumpulkan lebih 100 delegasi yang akan membincangkan pelbagai standard antarabangsa berkaitan lemak dan minyak makan daripada sumber haiwan serta sayur-sayuran.

Dr Dzulkefly berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah KKM akan dinaik taraf menjadi Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan (FSA) setelah rang undang-undang berkaitan dibentangkan di Parlimen, Mac ini.

“FSA memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara supaya lebih mantap dalam melindungi kesihatan rakyat.

“Ia dapat meningkatkan ekonomi negara dengan memudahcara perdagangan makanan melalui penjenamaan global produk makanan keluaran negara yang selamat dan berkualiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 7:01 AM