Lori yang dibawa suspek terbabas ke dalam parit sebelum ditahan penjaga kebun. FOTO Ihsan Polis
Lori yang dibawa suspek terbabas ke dalam parit sebelum ditahan penjaga kebun. FOTO Ihsan Polis
Nor Farhani Che Ad


TINDAKAN seorang lelaki mencuri buah kelapa sawit di Padang Estate, Padang Serai, Kulim, membawa padah apabila ditangkap penjaga kebun selepas kenderaannya terbabas ke dalam parit, pagi semalam.

Kejadian disedari penjaga kebun berkenaan pada 9.30 pagi apabila menemui lori dibawa suspek itu berada dalam parit di kawasan kebun milik majikannya dipercayai terbabas ketika cuba membawa keluar buah kelapa sawit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata, ketika itu suspek yang berusia 55 tahun masih berada di dalam lori dengan kenderaan itu dipenuhi muatan buah kelapa sawit dianggarkan kira-kira satu tan.

“Penjaga kebun itu bertindak menangkap suspek yang berada dalam lori itu.

“Suspek diserahkan kepada polis kira-kira 10.30 pagi tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, polis turut merampas lori berkenaan, buah kelapa sawit yang dicuri serta dua rod besi yang digunakan untuk mencuri.

Katanya, suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 12:26 AM