Mohd Hafizee Mohd Arop


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan siasatan sama ada benar terdapat bahan larangan digunakan restoran di Teluk Intan sehingga mengakibatkan pelanggan lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di restoran berkenaan, Selasa lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sampel makanan sudah diambil dari restoran berkenaan dan pihaknya masih menunggu keputusan sama ada benar terdapat bahan larangan yang digunakan pemilik.

Katanya, siasatan bagi kes itu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sehingga kini KKM masih belum mengetahui sama ada terdapat bahan larangan atau tidak disebabkan keputusan sampel masih belum diperoleh.

Menurutnya, beliau menasihatkan semua pengusaha restoran supaya mematuhi garis panduan ditetapkan serta memastikan kebersihan di premis mereka bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan.

“Semua restoran atau pengusaha makanan memang ada pengawasan secara berkala (daripada KKM) untuk memastikan bahawa bukan setakat bahan yang tidak dibenarkan tetapi juga kita buat pengawasan secara berkala bagi memastikan keadaan restoran itu bersih.

“Jadi pengusaha restoran juga perlu menerima vaksin typhoid secara berkala dan perlu mengikuti kursus pengendalian makanan sebelum memulakan operasi,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Belon Gergasi dan Buku Risalah Jom Hapuskan Aedes di Klinik Kesihatan Greentown, Ipoh, hari ini.

Harian Metro pada Rabu lalu melaporkan kedai makanan di daerah ini, diperiksa polis dan Jabatan Kesihatan, semalam selepas menerima aduan pelanggan yang mengalami simptom lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di premis berkenaan.

Sebelum ini, mesej yang mendakwa empat anggota polis ‘sangkut’ ujian saringan awal air kencing selepas makan di sebuah premis di Teluk Intan dan tukang masak premis berkenaan sudah ditahan tular di aplikasi WhatsApp.

Semalam, pemilik restoran Sultana Nasi Kandar atau lebih dikenali sebagai Nasi Lambai di sini menafikan premisnya diarah tutup oleh KKM dan kecewa apabila ada pihak tidak bertangungjawab bertindak menularkan tanpa maklumat sahih mendakwa premisnya menggunakan bahan terlarang dalam masakan.

Pemiliknya, Abdul Malik Pakeer Mohamad, 36, berkata, tiada notis penutupan premis yang dikeluarkan pihak berkuasa dan restorannya beroperasi seperti biasa.

Berita berkaitan

‘Kami hanya guna kas-kas, itu pun sikit saja’

Restoran hidang makanan khayal?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 11:31 AM