SARJAN Mejaar Wahab Ahmad. FOTO Ihsan PDRM.
SARJAN Mejaar Wahab Ahmad. FOTO Ihsan PDRM.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Ketua Balai Polis Sungai Tiang di Pendang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sedang memandu kereta di Kilometer 52.7 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian 8.30 malam itu menyebabkan kereta dipandu Sarjan Mejar Wahab Ahmad@Harun, 54, terbabas di bahu jalan.

Katanya, Wahab dipercayai memandu sendirian dari arah Pendang menuju Jitra dan kemalangan turut menyebabkan dia cedera di kepala.

"Pasukan perubatan kecemasan yang dikejarkan ke lokasi mengesahkan dia meninggal dunia dan keputusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengesahkan punca kematian akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi hari ini.

WAN Hassan (kanan) hadir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebaik dimaklum kejadian. FOTO Ihsan PDRM.
WAN Hassan (kanan) hadir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebaik dimaklum kejadian. FOTO Ihsan PDRM.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah hadir di Jabatan Forensik HSB bagi menziarahi jenazah dan keluarga arwah.

Sementara Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim pula mengucapkan takziah kepada keluarga arwah menerusi Facebook.

"Arwah banyak membantu saya dalam melancarkan perjalanan program rakyat khususnya di Sungai Tiang. Semoga kebaikan ini dibalas dengan ganjaran syurga buat arwah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 6:40 PM