SITI Fairuz (gambar kiri) maut di lokasi kejadian, rakannya Mohamad Azwan cedera ringan. FOTO Ihsan Polis
SITI Fairuz (gambar kiri) maut di lokasi kejadian, rakannya Mohamad Azwan cedera ringan. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG wanita maut manakala rakan lelakinya cedera ringan selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas dalam kemalangan di Kilometer 66.4 Lebuhraya Utara Selatan, di Pendang, hari ini.

Dalam kemalangan 3.30 petang, motosikal yang dibonceng Siti Fairuz Abdul Rahman, 24, dan Mohamad Azwan Yahya, 24, dari Kampung Belukar Luas, Naka, Alor Setar dipercayai terbabas di lokasi kejadian.

Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Alor Setar menghala ke Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi mereka dipercayai terbabas ke kanan jalan.

"Akibat kejadian itu, penunggang motosikal itu cedera ringan manakala wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terjatuh di pembahagi jalan.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.39 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Zaidi Hamid tiba di lokasi 3.48 petang.

Mohamadul Ehsan berkata, tindakan yang dilakukan BBP Pendang adalah dengan menghantar mangsa lelaki yang terbabit dalam kemalangan itu ke hospital menggunakan jentera EMRS.

Katanya, mayat mangsa wanita itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 9:33 PM