Mohd Azam Shah Yaacob


SARJAN detektif wanita yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjadi mangsa peragut di ibu negara dalam kejadian di depan bangunan Koperasi Polis di Kampung Attap, kira-kira 11.15 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, kejadian berlaku dalam tempoh kurang dua saat menyebabkan mangsa yang bertugas di Bahagian Narkotik IPK Perak tidak sempat berbuat apa-apa.

“Ketika kejadian, mangsa hendak menelefon seseorang sebelum seorang lelaki menunggang motosikal datang dari arah belakang dan terus meragut beg tangan di bahu kanannya.

Rakaman video memaparkan kejadian sarjan detektif Bahagian Narkotik IPK Perak menjadi mangsa ragut.  Foto Ihsan Pembaca
Rakaman video memaparkan kejadian sarjan detektif Bahagian Narkotik IPK Perak menjadi mangsa ragut. Foto Ihsan Pembaca

“Kejadian berlaku dengan pantas kurang dua saat menyebabkan mangsa tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shaharuddin berkata, oleh kerana kejadian berlaku terlalu pantas, mangsa tidak sempat mengecam wajah suspek serta nombor pendaftaran motosikal digunakan.

Katanya, polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian ragut itu dan menyiasat kes mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana meragut.

“Selain kehilangan wang tunai, mangsa turut kehilangan kad pengenalan, beberapa dokumen penting dan kad ATM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 9:42 PM